Dear Followers

Thursday, November 26, 2015

Tolak dan Bantah Pelaksanaan Dual Language Program (DLP) & PPSMI

Mengapa kita perlu cakna dan bersama dengan para tokoh akademik menolak Dual Language Programme (DLP) atau boleh dikenali sebagai PPSMI versi kedua yang telah  direjuvenasikan dengan nama lain.

Pada mulanya aku menolak PPSMI dan DLP ni dengan pengetahuan yang tidak mendalam. Hanya cukup aku menolak kedua-dua ini dengan sebab aku sayangkan Bahasa Melayu. Tetapi, setelah mendengar hujah-hujah para tokoh akademik yang hadir dalam Persidangan Kebangsaan Kecemerlangan Melayu, aku mendapati betapa peri pentingnya kita menentang DLP ini dengan ilmu.

Antara tokoh akademik yang aktif dan lantang menentang pelaksanaan ini adalah Prof Emeritus Abdullah Hassan, Prof Emeritus Shaharir, Dr Saleh Rahamad dan ramai lagi tokoh yang menolak pelaksanaan DLP oleh kerajaan pusat yang bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara (DPN) dan Penyata Razak.

Aku cukup tertarik dengan hujah-hujah yang disampaikan oleh Prof Abdullah Hassan ketika pembentangan kertas kerja beliau yang bertajuk Keupayaan Bahasa Melayu (BM) dalam Bidang Ekonomi. BM merupakan faktor bukan ekonomi yang turut menyumbang kepada pembangunan Melayu. Ini dapat dilihat melalui keuntungan yang dijana melalui industri penerbitan buku yang berbahasa melayu mencapai ratusan juta ringgit berbanding dengan penerbitan buku berbahasa inggeris. Ini menunjukkan bahawa BM ini juga mempunyai nilai ekonominya tersendiri.

Kenapa perlu menolak? Kerana ciri dalaman dan luaran bahasa itu sendiri. Kita tidak boleh memisahkan bahasa dan budaya. Negara luar yang belajar menggunakan bahasa asing lebih cepat berkembang. Lihat saja di Korea Selatan, Jepun, China, Germany dan negara-negara lain yang tidak menggunakan bahasa inggeris sebagai bahasa utama dan pertama. Hakikat bahawa pembelajaran dengan menggunakan bahasa ibunda sendiri lebih cepat pandai dan meningkatkan kreativiti. Jadi mengapa mahu memisahkan Bahasa Melayu dengan penutur jatinya? Bahasa boleh menjadi nilai-nilai budaya yang menggerakkan ekonomi Melayu dan ia terletak pada kretativiti dan daya cipta yang lahir daripada minda asli Melayu itu sendiri. Jika menggunakan bahasa Inggeris, keaslian minda Melayu itu tak dapat dikekalkan. Maka ia adalah satu usaha yang gagal.

Menurut Prof Abdullah Hassan, PPSMI dan DLP ini lahir daripada pemikiran yang dangkal dan tipis oleh para pemimpin. Dulu ketika 6 tahun pelaksanaan PPSMI, sebelum PPSMI dilaksanakan ranking subjek sains dan matematik berada dalam carta 5 teratas dan setelah PPSMI diperkenalkan kedudukan Malaysia dalam sains dan matematik turun merudum (Tidak ingat apa nama carta itu, tak sempat catit). Penguasaan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris kedua-duanya juga tidak begitu memberangsangkan. Semakin ramai yang tidak mahu mengambil aliran sains lagi. Masalah ini yang seharusnya dikaji kelemahannya.

Professor Dato Dr Firdaus Abdullah ada melontarkan persoalan kepada ahli panel iaitu Prof Emeritus Abdullah Hassan dan Prof Emeritus Chamhuri Siwar. Soalan beliau; Mengapa berlakunya pembelangkaian Bahasa Melayu yang sememangnya sangat memalukan?

Jawapan yang diterima cukup mudah dan ringkas, berlakunya pembelangkaian Bahasa Melayu adalah disebabkan kelalaian kita sendiri. Kelalaian kita akan wujud selagi ada masyarakat yang terjajah melalui bahasa yang dipelajari. Ahli panel juga memetik kata-kata dari Professor Diraja Ungku Aziz, orang Inggeris meninggalkan satu kepercayaan yang Melayu tidak boleh hidup tanpa Bahasa Inggeris.

Dua pernyataan ringkas inilah yang menjadi jawapan sebab apa Bahasa Melayu diabaikan atau mengalami pembelangkaian. Kita terlalu mengagungkan Bahasa Inggeris dan tanpa menolak kepentingan mempelajari Bahasa Inggeris akan tetapi kita perlukan satu usaha yang lebih besar untuk memelihara Bahasa Melayu kita.

p/s : Penulisan ini adalah hasil catatan dalam Persidangan Kebangsaan Kecemerlangan Melayu. Faktor bukan Ekonomi dalam Pembangunan Ekonomi Melayu.
Post a Comment

besties forever

besties forever
this is me. . the real me . . so crazy and kinda friendly :) easy go person